1 Tawarikh 15 BMDC

Persiapan untuk Memindahkan Tabut Perjanjian

1 Raja Daud membina beberapa buah rumah di Kota Daud untuk dirinya. Baginda juga menyediakan tempat bagi Tabut Perjanjian Allah dan memasang khemah bagi Tabut itu.

2 Kemudian Raja Daud bertitah, “Hanya orang Lewi yang boleh memikul Tabut Perjanjian Allah, kerana mereka yang dipilih oleh TUHAN untuk memikul Tabut Perjanjian TUHAN dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya selama-lamanya.”

3 Oleh itu Raja Daud memanggil semua orang Israel datang ke Yerusalem untuk memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN ke tempat yang telah disediakannya.

4 Selepas itu Raja Daud menyuruh keturunan Harun dan orang Lewi berkumpul.

5 Uriel, daripada puak Kehat dalam suku Lewi, mengetuai 120 orang daripada puaknya.

6 Asaya, daripada puak Merari, mengetuai 220 orang daripada puaknya.

7 Yoel, daripada puak Gerson, mengetuai 130 orang daripada puaknya.

8 Semaya, daripada puak Elsafan, mengetuai 200 orang daripada puaknya.

9 Eliel, daripada puak Hebron, mengetuai 80 orang daripada puaknya.

10 Aminadab, daripada puak Uziel, mengetuai 112 orang daripada puaknya.

11 Kemudian Raja Daud memanggil Imam Zadok dan Imam Abyatar, serta enam orang Lewi: Uriel, Asaya, Yoel, Semaya, Eliel, dan Aminadab.

12 Raja Daud bertitah kepada mereka, “Kamu pemimpin puak-puak dalam suku Lewi. Oleh itu, hendaklah kamu dan orang Lewi lain menyucikan diri supaya kamu dapat memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah Israel, ke tempat yang telah beta sediakan.

13 Ketika Tabut itu dipindahkan pada kali pertama, kamu tidak berada di situ untuk memikulnya. Oleh itu TUHAN, Allah kita, menghukum kita kerana kita tidak meminta petunjuk daripada-Nya.”

14 Oleh itu, para imam dan orang Lewi menyucikan diri supaya dapat memindahkan Tabut Perjanjian TUHAN, Allah Israel.

15 Ketika memindahkan Tabut, orang Lewi memikul Tabut itu dengan dua batang kayu pengusung, menurut peraturan yang diberikan TUHAN dengan perantaraan Musa.

16 Raja Daud juga menyuruh para pemimpin orang Lewi supaya menugaskan beberapa orang daripada suku mereka untuk menyanyikan dan memainkan lagu-lagu gembira pada kecapi dan simbal.

17-21 Daripada puak-puak penyanyi, mereka memilih orang yang berikut untuk memainkan simbal tembaga kuning: Heman anak Yoel, sanaknya yang bernama Asaf anak Berekhya, serta Etan anak Kusaya daripada puak Merari. Untuk mengiringi mereka serta memainkan kecapi yang bernada tinggi, orang Lewi yang berikut dipilih: Zakharia, Yaaziel, Semiramot, Yehiel, Uni, Eliab, Maaseya, dan Benaya.Untuk memainkan kecapi yang bernada rendah, orang Lewi yang berikut dipilih: Matica, Elifele, Mikneya, Azazya, dan Obed-Edom dan Yeiel, dua orang yang mengawal tempat Tabut Perjanjian.

22 Kenanya dipilih untuk mengetuai para pemuzik daripada suku Lewi, kerana dia pemuzik yang mahir.

23-24 Berekhya dan Elkana, bersama-sama Obed-Edom dan Yehia dipilih menjadi pengawal Tabut Perjanjian Allah. Para imam, iaitu Sebanya, Yosafat, Netaneel, Amasai, Zakharia, Benaya, dan Eliezer dipilih untuk meniup trompet di hadapan Tabut Perjanjian.

Tabut Perjanjian Dipindahkan ke Yerusalem

25 Oleh itu Raja Daud bersama-sama para pemimpin Israel, serta para panglima pergi ke rumah Obed-Edom untuk mengambil Tabut Perjanjian, dan mereka mengadakan perayaan besar.

26 Tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba dipersembahkan kepada Allah kerana Dia telah menolong orang Lewi yang memikul Tabut Perjanjian itu.

27 Pada masa itu Raja Daud memakai jubah daripada kain linen halus. Demikian juga pakaian para pemuzik dan Kenanya, pemimpin mereka, serta semua orang Lewi yang mengangkat Tabut itu. Raja Daud juga memakai efod daripada kain linen.

28 Segenap rakyat Israel mengiringi Tabut Perjanjian sampai ke Yerusalem dengan sorak-sorai gembira, serta bunyi trompet, nafiri, simbal, dan kecapi.

29 Ketika Tabut itu dibawa masuk ke dalam kota, Mikhal, puteri Raja Saul, menjenguk dari jendela lalu nampak Raja Daud menari-nari dan melompat-lompat dengan gembira. Maka Mikhal berasa jijik melihat Raja Daud.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29