1 Tawarikh 18 BMDC

Kemenangan Raja Daud dalam Peperangan

1 Beberapa waktu kemudian, Raja Daud menyerang dan mengalahkan orang Filistin, serta merebut kota Gat dan pekan-pekan di sekitarnya.

2 Raja Daud juga mengalahkan orang Moab sehingga mereka takluk dan membayar ufti kepadanya.

3 Kemudian Raja Daud mengalahkan Raja Hadadezer, pemerintah di Zoba dekat wilayah Hamat di negeri Siria. Pada masa itu Raja Hadadezer dalam perjalanan untuk menguasai wilayah dekat hulu Sungai Efrat.

4 Raja Daud merampas 1,000 buah kereta kuda, dan menawan 7,000 orang tentera berkuda serta 20,000 orang tentera berjalan kaki. Baginda melumpuhkan semua kuda, kecuali beberapa ekor, yang cukup untuk menarik 100 buah kereta kuda.

5 Apabila orang Siria dari Damsyik mengirim tentera untuk menolong Raja Hadadezer, Raja Daud menyerang tentera itu dan membunuh 22,000 orang.

6 Kemudian Raja Daud mendirikan perkhemahan tentera di wilayah mereka, lalu mereka takluk dan membayar ufti kepada baginda. TUHAN memberikan kemenangan kepada Raja Daud di mana sahaja baginda berperang.

7 Raja Daud merampas perisai-perisai emas yang digunakan oleh para pegawai Raja Hadadezer, lalu membawa semuanya ke Yerusalem.

8 Selain itu Raja Daud juga menjarah banyak sekali gangsa dari Tibhat dan Kun, kota-kota yang dahulu dikuasai oleh Raja Hadadezer. (Pada kemudian hari, gangsa itu digunakan oleh Raja Salomo untuk membuat tangki, tiang-tiang, dan perkakas ibadat di Rumah TUHAN.)

9 Raja Tou, pemerintah negeri Hamat, mendengar bahawa Raja Daud telah mengalahkan segenap tentera Raja Hadadezer.

10 Oleh itu Raja Tou mengutus Yoram, puteranya untuk menyampaikan salam kepada Raja Daud dan mengucapkan tahniah atas kemenangannya terhadap Raja Hadadezer. Raja Tou sendiri telah banyak kali berperang melawan Raja Hadadezer. Yoram menghadap Raja Daud dengan membawa banyak hadiah daripada emas, perak, dan gangsa.

11 Raja Daud mempersembahkan semua hadiah itu kepada TUHAN untuk digunakan dalam upacara ibadat. Demikian juga yang dilakukan oleh Raja Daud dengan barang-barang perak dan emas yang telah dijarahnya daripada bangsa-bangsa yang dikalahkan baginda, iaitu bangsa Edom, Moab, Amon, Filistin, dan Amalek.

12 Abisai, (ibunya bernama Zeruya) mengalahkan dan membunuh 18,000 orang Edom di Lembah Asin,

13 lalu mendirikan perkhemahan tentera di seluruh negeri Edom. Oleh itu orang Edom takluk kepada Raja Daud. TUHAN memberikan kemenangan kepada Raja Daud di mana sahaja baginda berperang.

14 Raja Daud memerintah seluruh Israel dan memastikan supaya rakyatnya selalu diperlakukan dengan adil dan baik.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28 29