19 Oleh sebab kehendak-Mu dan rancangan-Mu, Engkau melakukan semua perbuatan besar ini bagiku, dan untuk menunjukkan kebesaranku pada masa akan datang, kepadaku.
20 Ya TUHAN, tidak ada yang sama dengan Engkau; sejak dahulu, kami telah mengetahui bahawa Engkau satu-satunya Allah.
21 Di seluruh bumi tidak ada bangsa seperti Israel, yang telah Engkau selamatkan daripada perhambaan, untuk menjadikan mereka umat-Mu sendiri. Perbuatan besar dan ajaib yang Engkau lakukan bagi mereka, menjadikan nama-Mu termasyhur di seluruh dunia. Engkau membebaskan umat-Mu dari Mesir, dan mengusir bangsa-bangsa lain ketika umat-Mu maju bertempur.
22 Engkau telah menjadikan Israel, umat-Mu sendiri selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, menjadi Allah mereka.
23 Sekarang, ya TUHAN, tepatilah janji yang Engkau ucapkan tentang diriku dan keturunanku, untuk sepanjang masa. Laksanakanlah apa yang telah Engkau janjikan itu.
24 Engkau akan termasyhur selama-lamanya, dan untuk selama-lamanya orang akan berkata, ‘TUHAN Yang Maha Kuasa ialah Allah umat Israel.’ Oleh itu, Engkau akan memastikan supaya seorang daripada keturunanku memerintah sebagai raja sepanjang masa.
25 Aku berani berdoa demikian, ya Allahku, kerana Engkau telah menyatakan semua itu kepadaku, hamba-Mu. Engkau telah memberitahu aku bahawa keturunanku akan Engkau jadikan raja-raja bangsa ini.