26 Selomit dan sanak saudaranya bertanggungjawab mengurus semua pemberian yang dipersembahkan oleh Raja Daud, para ketua keluarga, para pemimpin puak, dan para panglima tentera.
27 Sebahagian daripada barang jarahan yang diperoleh dalam pertempuran, dipersembahkan mereka untuk digunakan khas di dalam Rumah TUHAN.
28 Selomit dan keluarganya bertanggungjawab mengurus segala sesuatu yang telah diberikan untuk digunakan khas di dalam Rumah TUHAN, termasuk segala persembahan yang telah diberikan oleh Nabi Samuel, Raja Saul, Abner anak Ner, dan Yoab anak Zeruya.
29 Keturunan Yizhar, iaitu Kenanya serta anak-anaknya, diberi tugas pentadbiran dan tugas pengadilan di Israel.
30 Segala urusan keagamaan dan pemerintahan di Israel bahagian barat Sungai Yordan diserahkan kepada Hasabya, dan kepada 1,700 sanak saudaranya; mereka semua orang terkemuka daripada keturunan Hebron.
31 Pemimpin keturunan Hebron ialah Yeria. Pada tahun keempat puluh pemerintahan Raja Daud, suatu penyelidikan tentang keturunan Hebron diadakan. Dalam penyelidikan itu ternyata bahawa di kalangan mereka ada askar-askar perkasa yang tinggal di Yazer di wilayah Gilead.
32 Segala urusan keagamaan dan pemerintahan di Israel sebelah timur Sungai Yordan, iaitu di wilayah suku Ruben, Gad, dan Manasye Timur, diserahkan kepada 2,700 ketua keluarga Yeria; mereka semua orang terkemuka yang dipilih oleh Raja Daud.