21 Mereka merampas sebanyak 50,000 ekor unta, 250,000 ekor domba, dan 2,000 ekor keldai daripada musuh, dan menawan seramai 100,000 orang.
22 Mereka membunuh banyak orang musuh kerana peperangan itu berlaku menurut kehendak Allah. Kemudian mereka menetap di wilayah itu sampai masa mereka dibuang negeri.
23 Orang daripada suku Manasye Timur menetap di wilayah Basan sampai ke utara sejauh Baal-Hermon, Senir, dan Gunung Hermon. Bilangan mereka bertambah banyak.
24 Inilah para pemimpin puak mereka: Hefer, Yisei, Eliel, Azriel, Yeremia, Hodawya, dan Yahdiel. Mereka semua askar yang perkasa, serta pemimpin puak yang terkenal.
25 Orang Israel tidak setia kepada Allah yang disembah nenek moyang mereka. Mereka meninggalkan Dia lalu menyembah dewa-dewa yang disembah bangsa-bangsa yang telah diusir oleh Allah dari tanah itu.
26 Oleh sebab itu Allah menggerakkan hati Raja Pul dari Asyur untuk menyerang negeri mereka. Raja Pul juga dikenal sebagai Raja Tiglat-Pileser. Suku Ruben, suku Gad, dan suku Manasye Timur dibuang negeri ke Halah, Habor, Hara, dan ke suatu tempat dekat Sungai Gozan. Mereka menetap di sana sampai hari ini.