17 Nyatalah bahawa Allah mengurniai orang bukan Yahudi itu, pemberian yang seperti kita terima pada masa kita percaya kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku ini sehingga cuba menghalang Allah?”
18 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka tidak mencela Petrus lagi. Lalu mereka memuji Allah dan berkata, “Jika demikian, Allah juga memberikan peluang kepada orang bukan Yahudi untuk bertaubat dan beroleh hidup sejati!”
19 Pada masa Stefanus dibunuh, orang yang percaya kepada Yesus tercerai-cerai kerana dianiaya. Ada yang lari sampai ke Fenisia, Siprus, dan Antiokhia. Mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada orang Yahudi sahaja.
20 Tetapi beberapa orang pengikut Yesus yang berasal dari Siprus dan Kirene, pergi ke Antiokhia. Mereka mengkhabarkan Berita Baik tentang Tuhan Yesus kepada orang bukan Yahudi.
21 Kuasa Tuhan menyertai mereka sehingga banyak orang percaya kepada Tuhan dan mengikut Dia.
22 Jemaah di Yerusalem mendengar peristiwa itu. Oleh itu mereka mengutus Barnabas ke Antiokhia.
23 Apabila dia tiba di Antiokhia dan melihat Allah memberkati orang di situ, dia bersukacita. Lalu dia menggalakkan mereka semua supaya tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati.