Kisah Rasul-Rasul 8 BM

1 Saulus menyetujui pembunuhan itu.Pada hari itu juga, jemaah di Yerusalem mula menderita penganiayaan yang kejam. Semua pengikut Yesus, kecuali rasul-rasul, terpaksa melarikan diri ke seluruh daerah Yudea dan Samaria.

Saulus Menganiaya Jemaah

2 Beberapa orang yang takut akan Allah mengebumikan Stefanus. Mereka menangisi dia dengan sangat sedih.

3 Tetapi Saulus berusaha untuk membinasakan jemaah itu. Dia pergi dari rumah ke rumah, dan mengheret pengikut Yesus ke luar, baik lelaki mahupun perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara.

Berita Baik daripada Allah Dikhabarkan di Samaria

4 Pengikut Yesus yang tercerai-cerai itu mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah ke serata tempat.

5 Filipus pergi ke kota yang terpenting di Samaria dan memberitahu orang di sana tentang Penyelamat yang diutus oleh Allah.

6 Apabila orang di situ mendengar Filipus berkata-kata dan melihat mukjizat yang dilakukannya, mereka memperhatikan baik-baik apa yang dikatakan oleh Filipus.

7 Sambil menjerit-jerit roh jahat keluar daripada banyak orang yang kerasukan. Banyak orang lumpuh dan tempang pun disembuhkan.

8 Oleh itu orang di Samaria sangat bersukacita.

9 Seorang lelaki bernama Simon tinggal di kota itu. Sudah beberapa lama dia mempesonakan orang Samaria dengan ilmu sihirnya. Dia mengaku dirinya seorang yang luar biasa.

10 Semua lapisan masyarakat di kota itu mendengarkan dia dengan penuh minat. Mereka berkata, “Tuhan yang disebut ‘Kekuasaan Besar’ sudah menjelma dalam orang ini.”

11 Mereka mendengarkan dia dengan penuh minat, kerana sudah lama sekali dia mempesonakan mereka dengan ilmu sihirnya.

12 Tetapi apabila mereka percaya kepada perkhabaran Filipus, iaitu Berita Baik tentang Pemerintahan Allah dan tentang Yesus Kristus, mereka dibaptis - baik lelaki mahupun perempuan.

13 Simon sendiri pun percaya kepada perkhabaran Filipus, dan setelah dia dibaptis, dia mengikuti Filipus. Simon hairan melihat keajaiban dan mukjizat yang dilakukan oleh Filipus.

14 Rasul-rasul di Yerusalem mendengar berita bahawa orang Samaria sudah menerima firman Allah. Oleh itu mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana.

15 Apabila Petrus dan Yohanes tiba, mereka berdoa bagi pengikut Yesus di situ supaya menerima Roh Allah,

16 kerana tidak seorang pun di kalangan mereka dikuasai oleh Roh Allah. Mereka baru dibaptis demi nama Tuhan Yesus sahaja.

17 Lalu Petrus dan Yohanes meletakkan tangan mereka ke atas kepala orang Samaria di situ, dan mereka pun menerima Roh Allah.

18 Simon melihat bahawa Roh Allah diberikan kepada orang apabila rasul-rasul meletakkan tangan ke atas kepala orang. Oleh itu, Simon menawarkan wang kepada Petrus dan Yohanes,

19 dan berkata, “Berikan kuasa itu kepada saya supaya orang menerima Roh Allah apabila saya meletakkan tangan saya ke atas kepala mereka.”

20 Tetapi Petrus menjawab, “Terkutuklah kamu dan wangmu, kerana menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang!

21 Kamu tidak mempunyai bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak tulus di sisi Allah.

22 Bertaubatlah daripada niatmu yang jahat itu, dan berdoalah supaya Tuhan mengampuni kamu daripada fikiran yang sesat itu!

23 Aku tahu bahawa kamu sungguh iri hati dan diperhamba oleh dosa.”

24 Lalu Simon berkata kepada Petrus dan Yohanes, “Berdoalah kepada Tuhan bagi saya, supaya saya tidak ditimpa perkara-perkara yang saudara-saudara katakan itu.”

25 Setelah Petrus dan Yohanes memberikan kesaksian tentang Yesus serta menyampaikan perkhabaran Tuhan, mereka kembali ke Yerusalem. Dalam perjalanan, mereka mengkhabarkan Berita Baik itu di banyak pekan di daerah Samaria.

Filipus dengan Seorang Pegawai Tinggi Etiopia

26 Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke arah selatan, ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza.” (Jalan itu tidak digunakan lagi.)

27-28 Lalu Filipus pun berangkat. Seorang sida-sida dari Etiopia sedang dalam perjalanan pulang ke negerinya. Dia seorang pegawai tinggi yang bertanggungjawab atas kekayaan Kandake, ratu negeri Etiopia. Pegawai itu pergi ke Yerusalem untuk menyembah Allah dan sekarang dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya, sambil membaca kitab Nabi Yesaya.

29 Roh Allah berkata kepada Filipus, “Pergi dekati kereta kuda itu.”

30 Filipus segera pergi menghampiri kereta kuda itu, lalu mendengar pegawai tinggi itu sedang membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus bertanya kepadanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?”

31 Pegawai tinggi itu menjawab, “Bagaimana saya boleh faham jika tidak ada orang yang menerangkannya?” Lalu dia mengajak Filipus menaiki kereta kudanya dan duduk dengan dia.

32 Inilah ayat-ayat yang dibacanya,“Dia seperti domba yang digiring untuk disembelih;seperti anak domba yang tidak mengembik ketika bulunya digunting;demikianlah Dia tidak berkata sepatah pun.

33 Dia dihina dan diperlakukan dengan tidak adil.Nyawanya dicabut dari muka bumi,sehingga tiada seorang pun dapat menceritakan keturunannya.”

34 Pegawai tinggi itu berkata kepada Filipus, “Tolong beritahu, siapakah yang dimaksudkan oleh nabi itu? Dirinya sendiri atau orang lain?”

35 Lalu Filipus mula berkata-kata. Melalui ayat-ayat itu Filipus memberitahu dia Berita Baik tentang Yesus.

36 Dalam perjalanan, mereka sampai ke suatu tempat yang berair. Pegawai itu berkata, “Lihatlah, di sini ada air. Adakah sebab yang menghalang saya dibaptis?” [

37 Filipus berkata, “Tuan boleh dibaptis, asal sahaja tuan percaya kepada Yesus dengan sepenuh hati.”Pegawai tinggi itu menjawab, “Saya percaya bahawa Yesus Kristus Anak Allah.”]

38 Lalu pegawai itu memberikan perintah supaya kereta kudanya dihentikan. Kemudian Filipus dan pegawai itu turun ke dalam air dan Filipus membaptis dia.

39 Apabila mereka keluar dari air, Roh Tuhan mengambil Filipus dari situ. Pegawai tinggi itu tidak nampak dia lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita.

40 Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus di semua bandar sehingga dia tiba di Kaisarea.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28