Kisah Rasul-Rasul 9 BM

Saulus Percaya kepada Yesus

1 Sementara itu Saulus meneruskan ancamannya untuk membunuh pengikut-pengikut Tuhan. Saulus pergi kepada Imam Agung,

2 dan meminta surat kuasa untuk ditunjukkan kepada pemimpin rumah-rumah ibadat orang Yahudi di Damsyik. Dengan demikian, jika di situ dia menjumpai pengikut-pengikut Yesus, dia boleh menangkap mereka, baik lelaki mahupun perempuan, dan membawa mereka ke Yerusalem.

3 Dalam perjalanannya ke Damsyik, apabila dia sudah dekat kota itu, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekeliling Saulus.

4 Dia jatuh ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadanya, “Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?”

5 Saulus bertanya, “Siapakah tuan?”Suara itu menjawab, “Aku Yesus, yang engkau aniaya.

6 Bangunlah dan masuklah ke bandar. Di situ engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan.”

7 Orang yang seperjalanan dengan Saulus berhenti dan terdiam. Mereka mendengar suara itu tetapi tidak melihat sesiapa pun.

8 Saulus berdiri lalu membuka matanya, tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa. Oleh itu mereka memegang tangannya dan memimpin dia masuk ke Damsyik.

9 Tiga hari lamanya dia tidak dapat melihat, dan selama itu dia tidak makan atau minum.

10 Seorang pengikut Yesus bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan berkata kepadanya, “Ananias!”“Ya Tuhan,” jawab Ananias.

11 Tuhan berkata kepadanya, “Bersiap-siaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang bernama Saulus dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa,

12 dan dalam penglihatan, dia melihat seorang lelaki bernama Ananias datang meletakkan tangan padanya supaya dia boleh melihat semula.”

13 Ananias menjawab, “Ya Tuhan, banyak orang sudah memberitahu aku tentang orang ini. Dia sudah melakukan banyak perkara yang kejam terhadap umat-Mu di Yerusalem.

14 Sekarang dia datang ke Damsyik dengan kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyembah Engkau.”

15 Tetapi Tuhan berkata kepadanya, “Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel.

16 Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya.”

17 Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. “Saudara Saulus,” katanya, “Tuhan sudah mengutus saya - Yesus yang menampakkan diri kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah.”

18 Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis.

19 Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya.Saulus tinggal beberapa hari dengan pengikut-pengikut Yesus di Damsyik.

Saulus Mengajar di Damsyik

20 Dia terus pergi ke rumah-rumah ibadat dan mula mengisytiharkan berita bahawa Yesus Anak Allah.

21 Semua orang yang mendengar kata-kata Saulus menjadi hairan. Mereka berkata sesama sendiri, “Dialah orang di Yerusalem yang membunuh semua orang yang menyembah Yesus. Dia datang ke sini untuk menangkap dan membawa pengikut Yesus kepada ketua-ketua imam.”

22 Tetapi Saulus semakin kuat pengaruhnya. Bukti-bukti yang dikemukakannya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah begitu meyakinkan, sehingga orang Yahudi yang tinggal di Damsyik tidak dapat membantah lagi.

23 Beberapa hari kemudian, orang Yahudi bersepakat hendak membunuh Saulus.

24 Tetapi rancangan mereka diketahui oleh Saulus. Siang malam mereka menunggu di pintu gerbang kota untuk membunuh dia.

25 Tetapi pada suatu malam, pengikut-pengikut Saulus menurunkan dia dengan sebuah keranjang ke kaki tembok kota melalui tingkap.

Saulus di Yerusalem

26 Saulus pergi ke Yerusalem dan berusaha bergabung dengan pengikut-pengikut Yesus di situ. Tetapi mereka takut akan dia, kerana mereka tidak percaya bahawa dia benar-benar sudah menjadi pengikut Yesus.

27 Kemudian Barnabas menyambut dia dan membawa dia kepada rasul-rasul. Barnabas memberitahu mereka bahawa Saulus sudah melihat Tuhan dalam perjalanan ke Damsyik, dan bahawa Tuhan sudah berkata-kata kepadanya. Dia juga memberitahu mereka bahawa dengan berani Saulus mengajar di Damsyik demi nama Yesus.

28 Oleh itu Saulus tinggal bersama-sama mereka, dan mengajar dengan berani di seluruh Yerusalem dengan nama Tuhan.

29 Dia juga berbincang dan berdebat dengan orang Yahudi yang berbahasa Yunani, dan mereka cuba membunuh dia.

30 Apabila saudara-saudara seiman mengetahui hal itu, mereka membawa Saulus ke Kaisarea dan kemudian menghantar dia ke Tarsus.

31 Dengan demikian tenteramlah jemaah di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria. Jemaah itu menghormati Allah dan dengan pertolongan Roh Allah, jemaah itu bertambah kuat dan bertambah banyak.

Petrus di Lida dan Yope

32 Petrus berkunjung ke serata tempat. Pada suatu hari dia melawat umat Tuhan yang tinggal di Lida.

33 Di situ dia berjumpa dengan seorang lelaki bernama Eneas, yang lumpuh dan tidak dapat bangun dari katilnya selama lapan tahun.

34 Petrus berkata kepadanya, “Hai Eneas, Yesus Kristus menyembuhkan kamu. Bangunlah dan kemaskan katilmu.” Pada saat itu juga Eneas bangun.

35 Semua penduduk di Lida dan Dataran Saron melihat Eneas, lalu mereka semua percaya kepada Tuhan.

36 Di Yope ada seorang wanita bernama Tabita. Dia percaya kepada Yesus. (Dalam bahasa Yunani namanya Dorkas, yang bererti ‘rusa.’) Dia menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin.

37 Pada waktu itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya diletakkan di bilik di tingkat atas.

38 Yope tidak berapa jauh dari Lida. Apabila pengikut-pengikut Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus di Lida, mereka mengutus dua orang kepadanya dengan berita, “Cepatlah datang ke mari.”

39 Petrus bersiap lalu mengikut mereka. Apabila dia tiba di situ, dia dibawa ke bilik di tingkat atas. Sambil menangis semua balu di situ mengerumuni Petrus dan menunjukkan pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka, semasa dia masih hidup.

40 Petrus menyuruh mereka semua keluar. Lalu dia berlutut dan berdoa. Kemudian dia menghampiri jenazah itu dan berkata, “Tabita, bangunlah!” Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk.

41 Petrus memegang tangannya dan menolong dia berdiri. Kemudian Petrus memanggil semua pengikut Yesus di situ termasuk balu-balu, lalu menyerahkan Tabita yang sudah hidup itu kepada mereka.

42 Berita itu tersebar ke seluruh Yope, dan banyak orang percaya kepada Tuhan.

43 Petrus tinggal di Yope dengan seorang penyamak kulit bernama Simon untuk beberapa hari lamanya.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26 27 28