1 Lima hari kemudian, Imam Agung Ananias dan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi serta seorang peguam bernama Tertulus pergi ke Kaisarea. Mereka menghadap Gabenor Feliks dan mengemukakan tuduhan terhadap Paulus.
2 Apabila Paulus dipanggil menghadap, Tertulus menuduh Paulus seperti berikut,“Tuan Yang Terutama! Oleh sebab pimpinan tuan yang bijaksana, kami terus-menerus mengalami kesejahteraan di negeri ini. Banyak pembaharuan pun sudah dilaksanakan untuk kebaikan negeri kami.
3 Kami menghargai semuanya itu dan kami sangat berterima kasih kepada tuan.
4 Supaya tidak membuang banyak masa tuan, saya memohon supaya tuan sudi mendengarkan pengaduan kami yang ringkas ini.
5 Kami dapati orang ini pengacau yang berbahaya. Dia menimbulkan kekacauan di kalangan orang Yahudi di seluruh dunia dan dia pemimpin kumpulan orang Nasaret.
6 Dia cuba menajiskan Rumah Tuhan, lalu kami menangkap dia. [Kami bercadang menghakimi dia menurut Taurat kami sendiri.
7 Tetapi Komandan Lisias merampas dia daripada kami.
8 Dia memberikan perintah supaya pendakwa-pendakwanya menghadap tuan.] Jika tuan menyoal orang ini, tuan sendiri dapat mengetahui kebenaran segala tuduhan kami.”
9 Orang Yahudi di situ juga turut menuduh Paulus dan mengatakan bahawa semua yang dikatakan oleh Tertulus itu benar.
10 Gabenor itu memberikan isyarat kepada Paulus bahawa dia boleh bercakap. Oleh itu Paulus berkata, “Saya tahu bahawa tuan telah menjadi hakim negeri ini selama bertahun-tahun. Oleh itu saya bersukacita kerana dapat membela diri di hadapan tuan.
11 Tuan dapat mengetahui hal itu sendiri, bahawa tidak lebih daripada dua belas hari yang lalu, saya pergi ke Yerusalem untuk beribadat.
12 Orang Yahudi tidak mendapati saya bertengkar dengan sesiapa pun ataupun menimbulkan rusuhan, baik di dalam Rumah Tuhan mahupun di rumah ibadat ataupun di tempat lain di kota.
13 Mereka pun tidak dapat membuktikan tuduhan yang dikemukakan kepada tuan terhadap saya.
14 Saya mengaku di hadapan tuan bahawa saya menyembah Allah yang disembah oleh nenek moyang kami menurut ajaran Yesus, yang dianggap salah oleh mereka. Tetapi saya percaya juga kepada segala yang tertulis di dalam Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi.
15 Seperti mereka, saya berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian - orang baik, mahupun orang jahat!
16 Oleh itu saya berusaha sebaik-baiknya supaya hati nurani saya sentiasa bersih di sisi Allah dan di hadapan manusia.
17 Setelah beberapa tahun meninggalkan Yerusalem, saya kembali ke situ untuk membawa wang sumbangan bagi bangsa saya dan untuk mempersembahkan korban kepada Allah.
18 Apabila saya sedang melakukan perkara itu, mereka melihat saya di Rumah Tuhan setelah saya selesai melakukan upacara penyucian diri. Tidak ada orang ramai menyertai saya, dan tidak ada kekacauan berlaku di situ pada waktu itu.
19 Tetapi beberapa orang Yahudi dari daerah Asia ada di situ. Sebenarnya mereka yang harus menghadap tuan dan mengajukan tuduhan mereka, jika ada tuduhan terhadap saya.
20 Atau biarlah semua orang ini memberitahukan kesalahan saya yang didapati oleh mereka pada masa saya dibawa menghadap Majlis Agama.
21 Mereka mendapati satu perkara sahaja: Saya mengatakan hal ini di hadapan mereka, ‘Hari ini saya diadili kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.’ ”
22 Kemudian Feliks, yang banyak pengetahuannya tentang ajaran Yesus, mengakhiri pembicaraan itu. Feliks berkata, “Apabila Komandan Lisias datang, saya akan memutuskan perkara ini.”
23 Lalu gabenor memerintahkan pegawai tentera yang menjaga Paulus supaya mengawal dia tetapi memberi dia kebebasan yang terhad, serta membenarkan sahabat-sahabat Paulus memberikan apa yang diperlukannya.
24 Beberapa hari kemudian, Gabenor Feliks datang dengan isterinya Drusila, seorang Yahudi. Feliks menyuruh orang memanggil Paulus, kemudian Feliks mendengarkan Paulus berkata-kata tentang kepercayaan kepada Kristus Yesus.
25 Tetapi apabila Paulus melanjutkan ucapannya tentang apa yang baik, tentang hal mengawal diri, dan tentang hukuman pada Hari Kiamat, Feliks menjadi takut lalu berkata, “Kamu boleh pergi sekarang. Saya akan memanggil kamu lagi jika ada kesempatan.”
26 Sementara itu Feliks juga berharap Paulus akan memberi dia wang. Oleh itu dia seringkali memanggil Paulus dan bercakap dengan dia.
27 Setelah dua tahun, Perkius Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor. Kerana Feliks ingin mengambil hati orang Yahudi, dia membiarkan Paulus tinggal di dalam penjara.