10 Mereka melalui tempat penjagaan yang pertama, kemudian yang kedua dan akhirnya tiba di pintu besi yang menuju ke bandar. Pintu itu terbuka dengan sendirinya, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui suatu lorong, lalu tiba-tiba malaikat itu meninggalkan Petrus.
11 Barulah Petrus menyedari apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Dia berkata, “Sekarang aku tahu bahawa semuanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk melepaskan aku daripada kuasa Raja Herodes dan daripada segala sesuatu yang akan dilakukan orang Yahudi kepadaku.”
12 Apabila Petrus menyedari keadaannya, dia pergi ke rumah Maria, ibu Yohanes Markus. Banyak orang berkumpul di situ dan sedang berdoa.
13 Petrus mengetuk pintu luar, dan seorang hamba perempuan bernama Rode datang untuk membuka pintu.
14 Dia mengenali suara Petrus, tetapi kerana terlalu gembira dia cepat-cepat masuk kembali tanpa membuka pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus berdiri di luar.
15 “Kamu gila!” kata mereka. Tetapi Rode berkeras mengatakan orang itu Petrus. Oleh itu mereka berkata, “Dia itu malaikatnya!”
16 Sementara itu Petrus terus-menerus mengetuk pintu. Akhirnya mereka membuka pintu, dan apabila mereka melihat Petrus, mereka hairan sekali.