12 Apabila gabenor itu melihat apa yang sudah berlaku, dia percaya kepada Yesus, kerana sangat mengagumi ajaran Tuhan.
13 Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di daerah Pamfilia. Di situ Yohanes Markus meninggalkan mereka lalu kembali ke Yerusalem.
14 Mereka melanjutkan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ.
15 Setelah Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi dibacakan, para pemimpin rumah ibadat itu menyuruh orang berkata kepada Paulus dan rakannya, “Saudara-saudara, jika ada nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah katakan.”
16 Paulus berdiri lalu memberikan isyarat dengan tangan, dan mula berkata,“Saudara-saudara bangsa Israel dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah, dengarlah!
17 Allah orang Israel telah memilih nenek moyang kita dan menjadikan mereka bangsa yang besar, semasa mereka tinggal di Mesir sebagai orang asing. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar.
18 Dia bersabar terhadap mereka selama empat puluh tahun di padang gurun.