16 ‘Setelah itu Aku akan kembali,firman Tuhan,Aku akan membina semula rumah Daud yang sudah roboh,dan memperbaiki runtuhannya.Aku akan menegakkannya semula,
17 supaya semua orang yang lain akan mencari Aku,semua bangsa lain yang bukan Yahudi sudah Aku panggil untuk menjadi umat-Ku.
18 Demikianlah firman Tuhan yang telah menyatakan hal ini sejak dahulu.’ ”
19 Yakobus melanjutkan kata-katanya, “Menurut pendapat saya, kita tidak boleh menyusahkan orang bukan Yahudi yang percaya kepada Allah.
20 Sebaliknya, kita harus menulis sepucuk surat untuk menasihati mereka supaya tidak makan makanan yang najis di sisi agama kerana sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan daging binatang yang mati dicekik, atau makan darah. Mereka harus menjauhkan diri juga daripada perbuatan cabul.
21 Hal itu demikian, kerana sejak dahulu Taurat Musa telah dibacakan di rumah-rumah ibadat pada setiap hari Sabat, dan diberitakan di setiap kota.”
22 Kemudian para rasul dan pemimpin jemaah bersama-sama jemaah itu membuat keputusan untuk memilih beberapa orang di kalangan mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama-sama Paulus dan Barnabas. Lalu mereka memilih Silas dan Yudas yang juga disebut Barsabas. Kedua-dua orang itu sangat dihormati oleh pengikut Yesus di Yerusalem.