3 Lalu jemaah di Antiokhia menghantar mereka sampai ke luar bandar. Sementara mereka melalui daerah Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bahawa orang bukan Yahudi sudah percaya kepada Allah. Berita ini menggembirakan semua pengikut Yesus di situ.
4 Apabila Paulus dan Barnabas tiba di Yerusalem, mereka disambut oleh jemaah, para rasul, dan pemimpin jemaah. Lalu Paulus dan Barnabas menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka.
5 Tetapi beberapa orang Farisi yang percaya kepada Yesus, berdiri dan berkata, “Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus harus disunat dan diwajibkan menurut Taurat Musa.”
6 Lalu para rasul dan pemimpin jemaah berkumpul untuk membincangkan masalah itu.
7 Setelah berbincang lama sekali, akhirnya Petrus berdiri dan berkata, “Saudara-saudara tentu tahu bahawa beberapa waktu yang lalu Allah memilih saya daripada kalangan saudara untuk mengkhabarkan Berita Baik itu kepada orang bukan Yahudi, supaya mereka pun boleh mendengar dan percaya.
8 Allah yang mengenal hati manusia sudah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada orang bukan Yahudi dengan mengurniakan Roh Allah kepada mereka seperti yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita.
9 Allah tidak membeza-bezakan orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Dia mengampunkan dosa mereka kerana mereka percaya.