Kisah Rasul-Rasul 16:12-18 BM

12 Dari situ kami menuju ke Filipi, sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia. Filipi juga jajahan Empayar Roma. Di situ kami tinggal beberapa hari.

13 Pada hari Sabat kami ke luar bandar dan pergi ke tepi sungai, kerana kami berfikir di situ terdapat tempat orang Yahudi berdoa. Kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ.

14 Salah seorang pendengar kami bernama Lidia, pedagang kain ungu yang mahal. Dia berasal dari Tiatira dan dia mengasihi Allah. Oleh itu Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus.

15 Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, “Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya.” Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya.

16 Pada suatu hari, kami sedang pergi ke tempat orang berdoa, apabila kami berjumpa dengan seorang hamba wanita. Dia dirasuk oleh roh jahat yang membolehkan dia meramalkan peristiwa yang akan datang. Dengan meramalkan nasib orang, dia mendatangkan keuntungan yang besar bagi pemilik-pemiliknya.

17 Wanita itu mengikuti Paulus dan kami sambil berseru, “Mereka hamba Allah Yang Maha Tinggi! Mereka datang untuk memberitahu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!”

18 Selama beberapa hari wanita itu terus-menerus berseru demikian, sehingga Paulus menjadi marah, lalu berpaling dan berkata kepada roh itu, “Demi nama Yesus Kristus aku memerintah engkau keluar daripada wanita ini!” Pada saat itu juga roh itu meninggalkan wanita itu.