15 Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, “Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya.” Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya.
16 Pada suatu hari, kami sedang pergi ke tempat orang berdoa, apabila kami berjumpa dengan seorang hamba wanita. Dia dirasuk oleh roh jahat yang membolehkan dia meramalkan peristiwa yang akan datang. Dengan meramalkan nasib orang, dia mendatangkan keuntungan yang besar bagi pemilik-pemiliknya.
17 Wanita itu mengikuti Paulus dan kami sambil berseru, “Mereka hamba Allah Yang Maha Tinggi! Mereka datang untuk memberitahu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!”
18 Selama beberapa hari wanita itu terus-menerus berseru demikian, sehingga Paulus menjadi marah, lalu berpaling dan berkata kepada roh itu, “Demi nama Yesus Kristus aku memerintah engkau keluar daripada wanita ini!” Pada saat itu juga roh itu meninggalkan wanita itu.
19 Apabila pemilik-pemiliknya sedar bahawa kesempatan untuk mendapat wang sudah lenyap, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret kedua-dua mereka menghadap pihak berkuasa di padang kota.
20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma dan berkata, “Kedua-dua orang ini orang Yahudi. Mereka menyebabkan kekacauan di kota kita.
21 Mereka mengajarkan adat resam yang bertentangan dengan hukum kita. Kita orang Roma dan tidak dapat menerima atau menurut adat resam itu!”