17 Wanita itu mengikuti Paulus dan kami sambil berseru, “Mereka hamba Allah Yang Maha Tinggi! Mereka datang untuk memberitahu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!”
18 Selama beberapa hari wanita itu terus-menerus berseru demikian, sehingga Paulus menjadi marah, lalu berpaling dan berkata kepada roh itu, “Demi nama Yesus Kristus aku memerintah engkau keluar daripada wanita ini!” Pada saat itu juga roh itu meninggalkan wanita itu.
19 Apabila pemilik-pemiliknya sedar bahawa kesempatan untuk mendapat wang sudah lenyap, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret kedua-dua mereka menghadap pihak berkuasa di padang kota.
20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma dan berkata, “Kedua-dua orang ini orang Yahudi. Mereka menyebabkan kekacauan di kota kita.
21 Mereka mengajarkan adat resam yang bertentangan dengan hukum kita. Kita orang Roma dan tidak dapat menerima atau menurut adat resam itu!”
22 Orang ramai pun turut menyerang Paulus dan Silas.Pegawai-pegawai kerajaan mengoyak pakaian Paulus dan Silas lalu menyuruh orang mencambuk mereka.
23 Setelah mereka dicambuk dengan teruk, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Ketua penjara disuruh menjaga mereka dengan ketat.