20 Melalui semua peristiwa yang luar biasa itu firman Tuhan semakin tersebar luas dan semakin banyak orang percaya kepada Yesus.
21 Setelah semua peristiwa itu berlaku, Paulus mengambil keputusan untuk pergi ke Makedonia dan Akhaya lalu terus ke Yerusalem. “Setelah aku pergi ke sana,” katanya, “aku harus pergi ke Roma juga.”
22 Oleh itu Paulus mengutus Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantunya, pergi ke Makedonia terlebih dahulu. Sementara itu Paulus tinggal lebih lama di wilayah Asia.
23 Pada masa itulah berlaku rusuhan yang besar di Efesus kerana ajaran tentang Yesus.
24 Di kota itu ada seorang tukang perak bernama Demetrius, yang biasa membuat model kuil Dewi Artemis. Usahanya mendatangkan penghasilan yang besar bagi pekerja-pekerjanya.
25 Oleh itu dia mengumpulkan semua pekerjanya dan pekerja tukang perak yang lain, lalu berkata, “Saudara-saudara tahu bahawa kekayaan kita datangnya daripada pekerjaan ini.
26 Sekarang saudara sekalian sudah melihat dan mendengar apa yang dilakukan oleh Si Paulus itu. Dia berkata bahawa berhala yang dibuat oleh manusia sama sekali bukan dewa. Dia berjaya meyakinkan banyak orang, bukan sahaja di Efesus, bahkan hampir di seluruh wilayah Asia.