23 Pada masa itulah berlaku rusuhan yang besar di Efesus kerana ajaran tentang Yesus.
24 Di kota itu ada seorang tukang perak bernama Demetrius, yang biasa membuat model kuil Dewi Artemis. Usahanya mendatangkan penghasilan yang besar bagi pekerja-pekerjanya.
25 Oleh itu dia mengumpulkan semua pekerjanya dan pekerja tukang perak yang lain, lalu berkata, “Saudara-saudara tahu bahawa kekayaan kita datangnya daripada pekerjaan ini.
26 Sekarang saudara sekalian sudah melihat dan mendengar apa yang dilakukan oleh Si Paulus itu. Dia berkata bahawa berhala yang dibuat oleh manusia sama sekali bukan dewa. Dia berjaya meyakinkan banyak orang, bukan sahaja di Efesus, bahkan hampir di seluruh wilayah Asia.
27 Hal itu membahayakan kerana perniagaan kita akan mendapat nama buruk. Bukan itu sahaja, bahkan orang tidak akan menghormati kuil Dewi Artemis lagi dan kebesarannya pun akan lenyap. Padahal Dewi Artemis disembah oleh semua orang di Asia dan di seluruh dunia!”
28 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka sangat marah dan mula berseru, “Hidup Artemis, dewi orang Efesus!”
29 Rusuhan itu meluas ke seluruh kota. Kumpulan perusuh itu menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium kota itu.