13 Tetapi dia menjawab, “Mengapa kamu menangis seperti ini sehingga menyebabkan aku bersedih hati? Aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat di Yerusalem, tetapi juga untuk mati di situ kerana Tuhan Yesus.”
14 Kerana Paulus tidak mahu mendengarkan kami, kami pun berhenti melarang dia. Kami berkata, “Biarlah kehendak Tuhan berlaku.”
15 Setelah kami tinggal di situ beberapa lama, kami mengemaskan barang lalu berangkat ke Yerusalem.
16 Beberapa orang pengikut Yesus dari Kaisarea mengikut kami dan menghantar kami ke rumah Manason, kerana di rumah dialah kami akan menginap. Manason berasal dari Siprus dan sudah lama menjadi pengikut Yesus.
17 Apabila kami tiba di Yerusalem, pengikut-pengikut Yesus di situ menyambut kami dengan sukacita.
18 Keesokan harinya Paulus pergi bersama-sama kami menjumpai Yakobus; semua pemimpin jemaah pun hadir.
19 Paulus memberikan salam kepada mereka, lalu memberitahukan segala sesuatu yang sudah dilakukan oleh Allah melalui dia di kalangan orang bukan Yahudi.