19 Paulus memberikan salam kepada mereka, lalu memberitahukan segala sesuatu yang sudah dilakukan oleh Allah melalui dia di kalangan orang bukan Yahudi.
20 Setelah mendengar laporan Paulus, mereka semua memuji Allah. Kemudian mereka berkata kepada Paulus, “Saudara Paulus, dengarlah! Di sini ada beribu-ribu orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus, dan mereka mentaati Taurat Musa dengan setia.
21 Tetapi mereka sudah diberitahu bahawa saudara mengajar semua orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bukan Yahudi supaya tidak menurut Taurat Musa, tidak menyunat anak-anak mereka ataupun menurut adat istiadat orang Yahudi.
22 Mereka tentu sudah mendengar bahawa saudara sudah tiba di sini. Apakah yang harus kita lakukan sekarang?
23 Kami mahu saudara melakukan hal ini. Di sini ada empat orang yang sudah bernazar.
24 Pergilah dengan mereka dan lakukanlah upacara penyucian diri, dan bayarlah biaya mereka juga. Kemudian mereka boleh mencukur rambut. Dengan cara demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang didengar oleh mereka tentang saudara tidak benar, kerana saudara pun taat kepada Taurat Musa.
25 Tetapi bagi orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus, kami telah mengirim sepucuk surat kepada mereka tentang keputusan kami. Mereka tidak boleh makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan darah, atau makan daging binatang yang mati dicekik, dan mereka juga harus menjauhkan diri daripada perbuatan cabul.”