1 Paulus menatap anggota-anggota Majlis Agama lalu berkata, “Saudara-saudara! Sehingga hari ini, hati nurani saya tidak menyalahkan saya tentang kehidupan saya di sisi Allah.”
2 Imam Agung Ananias menyuruh orang yang berdiri dekat Paulus menampar mulut Paulus.
3 Paulus berkata kepadanya, “Allah pasti akan menampar tuan, yang seperti tembok berkapur putih. Tuan duduk di situ menghakimi saya menurut Taurat, tetapi tuan sendiri melanggar Taurat apabila menyuruh orang menampar saya!”
4 Beberapa orang yang di sebelah Paulus berkata kepadanya, “Kamu menghina Imam Agung Allah!”
5 Paulus menjawab, “Saudara-saudara, saya tidak tahu bahawa dia Imam Agung. Memang di dalam Alkitab ada tertulis, ‘Janganlah hina pemimpin bangsa kamu.’ ”
6 Paulus melihat bahawa sebahagian daripada Majlis Agama itu terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada Majlis Agama, “Saudara-saudara, saya orang Farisi, bapa saya pun orang Farisi. Saya diadili di sini kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.”