Kisah Rasul-Rasul 25:19-25 BM

19 Mereka hanya berdebat dengan dia tentang agama mereka sendiri dan tentang seorang bernama Yesus. Orang itu sudah mati, tetapi Paulus berkeras mengatakan bahawa Dia hidup.

20 Patik tidak dapat mengambil keputusan tentang bagaimana patik boleh mendapatkan keterangan selanjutnya tentang perkara itu. Oleh itu patik bertanya kepada Paulus sama ada dia mahu pergi ke Yerusalem untuk diadili di sana kerana tuduhan-tuduhan itu.

21 Tetapi Paulus mengajukan rayuan supaya dia diadili oleh Kaisar dan supaya tetap ditahan sehingga perkaranya diputuskan. Oleh itu patik memberikan perintah supaya dia ditahan terus, sehingga patik mendapat peluang untuk menghantar dia kepada Kaisar.”

22 Agripa bertitah kepada Festus, “Beta pun ingin mendengar orang itu.”“Esok tuanku akan mendengar dia,” jawab Festus.

23 Esoknya Raja Agripa dan Puteri Bernike datang lalu disambut dengan upacara kebesaran. Baginda berdua memasuki balai mahkamah bersama-sama para panglima angkatan perang dan orang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa menghadap.

24 Lalu Festus berkata, “Tuanku Raja Agripa dan para hadirin! Orang di hadapan patik ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak layak hidup lebih lama lagi.

25 Tetapi patik tidak mendapatkan kesalahan apa pun yang dilakukannya, yang layak dihukum dengan hukuman mati. Kerana dia sudah mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar, patik sudah mengambil keputusan untuk menghantar dia kepada Kaisar.