22 Tetapi sehingga saat ini Allah telah menolong hamba, dan sekarang hamba berdiri di sini untuk memberikan kesaksian kepada semua orang, baik orang besar mahupun orang biasa. Apa yang hamba katakan sama dengan apa yang dikatakan oleh nabi-nabi dan Musa.
23 Mereka mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan, dan menjadi orang pertama yang bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Penyelamatan itu seperti cahaya bagi mereka.”
24 Sementara Paulus membela diri, Festus berseru, “Paulus, kamu gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah menyebabkan kamu gila!”
25 Tetapi Paulus menjawab, “Hamba tidak gila, Tuan Yang Terutama. Kata-kata yang hamba ucapkan itu benar dan keluar daripada fikiran yang waras.
26 Tuanku Raja Agripa, hamba berani berkata-kata di hadapan tuanku dengan terus terang, kerana tuanku faham akan perkara-perkara itu. Hamba yakin bahawa tuanku mengetahui semuanya, kerana hal-hal itu tidak berlaku di tempat yang tersembunyi.
27 Tuanku Raja Agripa, hamba tahu bahawa tuanku percaya kepada apa yang dikatakan oleh nabi-nabi itu!”
28 Raja Agripa bertitah kepada Paulus, “Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?”