3 Keesokan harinya kami tiba di Sidon. Yulius memperlakukan Paulus dengan baik. Dia membenarkan Paulus melawat sahabat-sahabatnya, supaya mereka dapat memberikan apa yang diperlukan oleh Paulus.
4 Dari situ kami meneruskan pelayaran. Kerana angin berlawanan dengan arah kapal, kami belayar menyusur pulau Siprus yang agak terlindung daripada angin.
5 Kami menyeberangi lautan yang berhadapan dengan Kilikia dan Pamfilia lalu tiba di Mira di negeri Likia.
6 Di situ pegawai tentera itu mendapatkan kapal yang datang dari Aleksandria dan akan belayar ke Italia. Oleh itu dia memindahkan kami ke kapal itu.
7 Selama beberapa hari kami belayar dengan lambat sekali, dan dengan susah payah akhirnya kami tiba di kota Knidus. Kerana angin terlalu kuat, kami tidak dapat meneruskan pelayaran ke jurusan itu. Oleh itu kami belayar ke selatan pulau Kreta melalui Tanjung Salmone supaya terlindung daripada angin.
8 Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai pulau itu, dan akhirnya kami tiba di suatu tempat bernama Pelabuhan Indah, tidak berapa jauh dari kota Lasea.
9 Pada waktu itu Hari Pengampunan Dosa orang Yahudi sudah lalu. Kami tinggal lama di situ sehingga bukan masanya lagi untuk belayar dengan aman. Oleh itu Paulus menasihatkan mereka begini,