Kisah Rasul-Rasul 28:17-23 BM

17 Selepas tiga hari, Paulus memanggil pemimpin-pemimpin orang Yahudi tempatan. Sesudah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Yahudi, saya tidak bersalah apa-apa terhadap bangsa kita atau melanggar adat resam yang kita terima daripada nenek moyang kita. Meskipun demikian saya ditangkap di Yerusalem dan diserahkan kepada bangsa Roma.

18 Setelah memeriksa perkara saya, orang Roma hendak membebaskan saya kerana mereka tidak mendapati saya melakukan kesalahan yang patut dihukum dengan hukuman mati.

19 Tetapi orang Yahudi menentang keputusan itu, dan saya terpaksa mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar Roma, meskipun saya tidak mempunyai tuduhan terhadap bangsa saya sendiri.

20 Itulah sebabnya saya minta berjumpa dengan saudara-saudara supaya boleh bercakap dengan saudara semua. Sebenarnya saya dibelenggu seperti ini, kerana Dia yang diharapkan oleh bangsa Israel.”

21 Lalu mereka berkata kepadanya, “Kami belum menerima sepucuk surat pun dari Yudea tentang perkara saudara. Tiada seorang pun daripada mereka yang datang membawa khabar tentang saudara, atau bercakap buruk tentang saudara.

22 Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu bahawa orang di serata tempat mencela kumpulan yang saudara anggotai.”

23 Oleh itu mereka dan Paulus menetapkan satu hari untuk bertemu. Pada hari itu banyak orang datang ke tempat tinggal Paulus. Dari pagi hingga petang Paulus menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Allah. Dia berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Yesus dengan menggunakan ayat-ayat dari Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi.