11 Orang itu masih mengikuti Petrus dan Yohanes. Apabila mereka tiba di serambi yang disebut Serambi Salomo, semua orang berlari mengerumuni mereka kerana kagum.
12 Apabila Petrus melihat orang ramai itu, dia berkata kepada mereka, “Saudara-saudara orang Israel, mengapa saudara semua hairan akan perkara ini? Mengapa saudara-saudara merenung kami? Adakah saudara-saudara menyangka bahawa orang ini boleh berjalan kerana kuasa kami atau kerana kami taat kepada Allah?
13 Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, Yakub, dan nenek moyang kita, sudah mempermuliakan Hamba-Nya, Yesus. Yesus itulah yang saudara-saudara serahkan kepada pihak berkuasa, dan yang saudara-saudara tolak di hadapan Pilatus, meskipun Pilatus hendak membebaskan Dia.
14 Dia suci dan baik, tetapi saudara-saudara menolak Dia dan meminta Pilatus melepaskan seorang pembunuh.
15 Saudara-saudara membunuh Dia yang memberikan hidup sejati kepada semua orang! Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian, dan kami menyaksikan perkara itu.
16 Dengan kuasa Yesus orang lumpuh ini dikuatkan. Apa yang saudara-saudara lihat dan saksikan ini berlaku kerana dia percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Kerana orang itu percaya kepada Yesus, dia sembuh, seperti yang sudah saudara-saudara lihat sendiri.
17 Saudara-saudara, sekarang saya tahu, bahawa apa yang saudara-saudara dan para pemimpin saudara lakukan terhadap Yesus, tidak saudara-saudara fahami maknanya.