10 Seketika itu juga isteri Ananias jatuh dan mati di hadapan Petrus. Orang muda di situ masuk dan mendapati Safira sudah mati. Oleh itu mereka membawa mayatnya ke luar dan menguburnya di sebelah suaminya.
11 Dengan demikian jemaah dan semua orang lain yang mendengar peristiwa itu menjadi sangat takut.
12 Banyak mukjizat dan keajaiban dilakukan oleh rasul-rasul di kalangan orang ramai. Semua pengikut Yesus berkumpul di Serambi Salomo.
13 Tidak ada orang di luar kelompok itu berani berkumpul dengan pengikut-pengikut Yesus, walaupun masyarakat sangat menghormati mereka.
14 Tetapi bilangan mereka semakin bertambah, kerana banyak orang lelaki dan perempuan percaya kepada Tuhan.
15 Oleh sebab mukjizat yang dilakukan oleh para rasul, orang sakit dibaringkan di atas tilam atau tikar, lalu dibawa ke jalan supaya setidak-tidaknya mereka terkena bayang Petrus, apabila dia lalu di situ.
16 Banyak orang datang dari bandar-bandar di sekitar Yerusalem. Mereka membawa orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat, dan semua orang itu disembuhkan.