27 Mereka membawa rasul-rasul itu ke hadapan Majlis Agama. Lalu Imam Agung berkata,
28 “Dengan tegas kami melarang kamu mengajar berdasarkan ajaran orang itu. Tetapi sekarang lihatlah apa yang sudah kamu lakukan! Kamu menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu mahu mendakwa kami bertanggungjawab atas kematiannya.”
29 Petrus dan rasul-rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia.
30 Yesus yang tuan-tuan salibkan, sudah dibangkitkan daripada kematian oleh Allah yang disembah nenek moyang kita.
31 Allah mengangkat Dia ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan-Nya, untuk menjadi Pemimpin dan Penyelamat, supaya umat Israel mendapat peluang untuk bertaubat dan beroleh pengampunan dosa.
32 Kami menjadi saksi dalam semua perkara ini - kami dan juga Roh Allah, yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang mentaati perintah-Nya.”
33 Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka marah sekali sehingga mereka mahu menghukum mati rasul-rasul itu.