35 Semua penduduk di Lida dan Dataran Saron melihat Eneas, lalu mereka semua percaya kepada Tuhan.
36 Di Yope ada seorang wanita bernama Tabita. Dia percaya kepada Yesus. (Dalam bahasa Yunani namanya Dorkas, yang bererti ‘rusa.’) Dia menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin.
37 Pada waktu itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya diletakkan di bilik di tingkat atas.
38 Yope tidak berapa jauh dari Lida. Apabila pengikut-pengikut Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus di Lida, mereka mengutus dua orang kepadanya dengan berita, “Cepatlah datang ke mari.”
39 Petrus bersiap lalu mengikut mereka. Apabila dia tiba di situ, dia dibawa ke bilik di tingkat atas. Sambil menangis semua balu di situ mengerumuni Petrus dan menunjukkan pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka, semasa dia masih hidup.
40 Petrus menyuruh mereka semua keluar. Lalu dia berlutut dan berdoa. Kemudian dia menghampiri jenazah itu dan berkata, “Tabita, bangunlah!” Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk.
41 Petrus memegang tangannya dan menolong dia berdiri. Kemudian Petrus memanggil semua pengikut Yesus di situ termasuk balu-balu, lalu menyerahkan Tabita yang sudah hidup itu kepada mereka.