1 Kemudian Yesus memilih tujuh puluh dua orang pengikut pula. Dia mengutus mereka berdua-dua, dan pergi mendahului Dia ke tiap-tiap kota dan tempat yang akan dikunjungi-Nya.
2 Yesus berkata kepada mereka, “Tuaian sungguh banyak, tetapi yang menuai hanya sedikit. Berdoalah kepada Pemilik tuaian supaya Dia menghantar orang untuk menuai tuaian-Nya.
3 Pergilah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala.
4 Jangan bawa dompet, atau beg sedekah, ataupun kasut. Jangan berhenti di tengah jalan untuk memberikan salam kepada sesiapa pun.
5 Apabila kamu masuk ke dalam sebuah rumah, lebih dahulu katakanlah, ‘Semoga sejahteralah rumah ini.’
6 Jika orang yang tinggal di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera kamu itu tetap padanya. Jika tidak, batallah salam sejahtera itu.
7 Tinggallah di rumah itu dan makan minum apa sahaja yang dihidangkan, kerana seorang pekerja layak menerima upah. Jangan pindah dari satu rumah ke rumah yang lain.
8 Apabila kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu kamu disambut, makanlah apa yang dihidangkan.
9 Sembuhkanlah orang sakit di kota itu, dan kepada penduduk di situ katakanlah, ‘Tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu.’
10 Tetapi jika kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu di situ kamu tidak disambut, pergilah ke jalan raya dan berkata,
11 ‘Bahkan debu kota kamu yang melekat pada kaki, kami kebaskan sebagai amaran kepada kamu. Tetapi ketahuilah bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu!’
12 Ingatlah bahawa pada Hari Pengadilan kelak, Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Sodom daripada penduduk kota itu!”
13 “Malanglah kamu, hai penduduk kota Korazin! Malanglah kamu, hai penduduk kota Betsaida! Jika semua mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu telah dilakukan di Tirus dan Sidon, pasti penduduk di sana sudah lama mengenakan kain guni dan menaruh abu di atas kepala untuk membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat daripada dosa!
14 Pada Hari Pengadilan kelak Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Tirus dan Sidon daripada kamu!
15 Dan kamu, hai penduduk kota Kapernaum! Kamu fikir kamu akan ditinggikan sampai ke syurga? Tidak! Kamu akan dibuang ke neraka!”
16 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Orang yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata-Ku juga. Tetapi orang yang menolak kamu, menolak Aku juga. Orang yang menolak Aku, juga menolak Dia yang mengutus Aku.”
17 Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali dengan kegembiraan yang besar. “Tuhan,” kata mereka, “roh-roh jahat pun taat kepada kami apabila kami memberikan perintah dengan nama Tuhan!”
18 Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat.
19 Dengarlah! Aku sudah memberikan kuasa kepada kamu supaya dapat memijak ular dan kala jengking serta mengalahkan segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa pun dapat mencederakan kamu.
20 Tetapi janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.”
21 Pada waktu itu Yesus bersukacita kerana dipenuhi oleh Roh Allah, lalu berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana kepada orang yang tidak terpelajar Engkau telah menunjukkan apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak dan pandai. Ya Bapa, perkara itulah yang menyenangkan hati Bapa.
22 Bapa-Ku sudah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang diberitahukan oleh Anak tentang Bapa.”
23 Lalu Yesus berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, “Alangkah berbahagianya kamu kerana dapat melihat apa yang kamu lihat sekarang ini!
24 Ketahuilah bahawa banyak nabi dan raja mahu melihat apa yang kamu lihat sekarang ini tetapi tidak dapat, dan mahu mendengar apa yang kamu dengar sekarang ini tetapi juga tidak dapat.”
25 Kemudian seorang guru Taurat datang untuk memerangkap Yesus. Dia bertanya, “Guru, apakah yang harus saya lakukan supaya mendapat hidup sejati dan kekal?”
26 Yesus menjawab, “Apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Bagaimana tafsiranmu?”
27 Orang itu menjawab, “ ‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan segala kekuatanmu, dan dengan seluruh akalmu’; dan ‘Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.’ ”
28 Yesus berkata kepadanya, “Jawapanmu itu benar. Berbuatlah demikian, dan kamu akan mendapat hidup sejati dan kekal.”
29 Tetapi guru Taurat itu hendak membela diri, lalu bertanya, “Siapakah sesama saya?”
30 Yesus menjawab, “Seorang lelaki turun dari Yerusalem dan pergi ke Yerikho. Di tengah perjalanan, dia diserang penyamun. Mereka merompak dan memukul dia setengah mati, lalu meninggalkannya di tepi jalan.
31 Kebetulan pada masa itu seorang imam lalu di situ. Apabila dia melihat orang itu, dia menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan.
32 Demikian juga seorang Lewi lalu di situ. Dia mendekati orang itu untuk melihatnya, lalu menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan.
33 Tetapi seorang Samaria yang sedang lalu di situ, tiba di tempat orang itu terbaring. Ketika dia melihat orang itu, hatinya penuh belas kasihan.
34 Maka dia mendekatinya lalu membersihkan luka-lukanya dengan wain dan mengubatinya dengan minyak. Selepas itu dia membalut luka-lukanya dan menaikkan orang itu ke atas haiwan tunggangannya sendiri. Dia membawa orang itu ke rumah tumpangan dan merawat dia di situ.
35 Keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan itu dan berkata kepadanya, ‘Rawatlah dia, dan sekiranya wang ini tidak cukup, saya akan membayarnya apabila saya kembali ke sini.’ ”
36 Lalu Yesus mengakhiri ceritanya dengan bertanya, “Menurut pendapatmu, di antara ketiga-tiga orang itu, siapakah yang menjadi sesama orang yang dirompak itu?”
37 Guru Taurat itu menjawab, “Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.”Yesus berkata pula, “Pergilah dan berbuatlah demikian!”
38 Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan, lalu tiba di sebuah pekan. Di situ seorang wanita bernama Marta menjemput Yesus ke rumahnya.
39 Marta mempunyai seorang saudara perempuan bernama Maria. Maria duduk dekat kaki Tuhan untuk mendengarkan ajaran-Nya.
40 Tetapi Marta gelisah kerana banyak kerja yang harus dilakukannya. Marta menghampiri Yesus dan berkata, “Ya Tuhan, tidakkah Tuhan peduli bahawa Maria membiarkan aku sibuk seorang diri? Suruhlah dia tolong aku!”
41 Tuhan menjawab, “Marta, Marta! Kamu sibuk serta khuatir akan banyak perkara,
42 tetapi hanya satu yang mustahak! Maria sudah memilih perkara baik, yang tidak akan diambil daripadanya.”