Lukas 14 BM

Yesus Menyembuhkan Seorang yang Sakit

1 Pada suatu hari Sabat, Yesus pergi makan di rumah seorang Farisi yang terkenal. Orang di situ memerhati Yesus.

2 Lalu seorang lelaki yang bengkak kaki dan lengannya datang kepada Yesus.

3 Yesus bertanya kepada semua guru Taurat dan orang Farisi di situ, “Adakah Taurat membenarkan kita menyembuhkan orang sakit pada hari Sabat?”

4 Mereka tidak mahu berkata apa-apa. Lalu Yesus memanggil orang itu dan menyembuhkan dia, kemudian menyuruh dia pergi.

5 Setelah itu Yesus berkata kepada mereka, “Jika seorang di antara kamu mempunyai anak lelaki atau lembu yang jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, tidakkah kamu akan menariknya keluar pada hari itu juga?”

6 Mereka tidak dapat menjawab Yesus tentang hal itu.

Rendah Hati dan Murah Hati

7 Yesus memperhatikan beberapa orang tetamu yang memilih tempat terbaik. Oleh itu Dia menceritakan perumpamaan ini kepada mereka semua.

8 Dia berkata, “Jika seseorang menjemput kamu ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin ada orang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput juga.

9 Lalu tuan rumah yang telah menjemput kamu berdua datang kepadamu dan berkata, ‘Maaf, tempat ini telah disediakan untuk dia.’ Tidakkah kamu akan berasa malu, lalu terpaksa duduk di tempat yang paling belakang?

10 Oleh itu apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling belakang, supaya tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, ‘Marilah saudara, duduklah di tempat yang lebih baik.’ Lalu kamu akan dihormati di hadapan semua tetamu lain.

11 Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, tetapi orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.”

12 Kemudian Yesus berkata pula kepada tuan rumah, “Apabila kamu menjemput orang makan siang atau makan malam, janganlah jemput sahabat, atau saudara, atau sanak keluarga, ataupun jiranmu yang kaya. Kelak mereka akan menjemput kamu pula dan dengan demikian kamu menerima balasan perbuatanmu.

13 Tetapi apabila kamu menjamu orang, jemputlah orang miskin, orang lumpuh, orang tempang, dan orang buta.

14 Kamu akan diberkati kerana mereka tidak dapat membalas kebaikanmu. Kebaikanmu akan dibalas oleh Allah pada waktu orang baik dibangkitkan daripada kematian.”

Perumpamaan tentang Perjamuan Besar

15 Salah seorang yang duduk bersama-sama Yesus mendengar kata-kata-Nya. Dia berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya mereka yang akan dijamu oleh Allah di Dunia Baru Allah!”

16 Yesus berkata kepada orang itu, “Ada seorang yang sedang mengadakan jamuan besar. Dia menjemput banyak orang.

17 Apabila tiba masanya perjamuan itu dimulakan, dia mengutus hambanya kepada semua tetamu dengan jemputan, ‘Marilah, semuanya sudah siap!’

18 Tetapi, seorang demi seorang mula memberikan alasan. Yang pertama berkata kepada hamba itu, ‘Aku baru membeli sebidang tanah dan perlu memeriksanya. Maafkanlah aku.’

19 Yang lain berkata, ‘Aku baru membeli lima pasang lembu dan hendak mencuba haiwan itu. Maafkanlah aku.’

20 Yang lain pula berkata, ‘Aku baru sahaja berkahwin; itulah sebabnya aku tidak dapat datang.’

21 Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya segala perkara itu. Tuan itu sangat marah, lalu berkata kepada hambanya, ‘Cepatlah pergi ke jalan dan lorong di kota. Jemput orang miskin, orang lumpuh, orang buta, dan orang tempang.’

22 Kemudian hamba itu berkata, ‘Tuan, perintah tuan sudah dijalankan, tetapi masih banyak tempat yang kosong.’

23 Lalu tuan itu berkata kepada hambanya, ‘Pergilah ke jalan dan lorong di luar kota, dan suruh semua orang datang supaya rumahku penuh.

24 Ketahuilah, tidak seorang pun daripada tetamu yang aku jemput itu akan menikmati perjamuanku!’ ”

Pengorbanan Seorang Pengikut

25 Orang ramai berjalan bersama-sama Yesus; Dia berpaling dan berkata kepada mereka,

26 “Sesiapa yang datang kepada-Ku tetapi tidak dapat mengasihi Aku lebih daripada ibunya, bapanya, isterinya, anak-anaknya, saudara lelakinya, dan saudara perempuannya, bahkan dirinya sendiri, tidak dapat menjadi pengikut-Ku.

27 Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya sendiri dan mengikut Aku, tidak dapat menjadi pengikut-Ku.

28 Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu.

29 Jika tidak, setelah meletakkan batu asasnya dia tidak dapat menyudahkan pekerjaan itu. Lalu semua orang yang melihat apa yang telah berlaku akan mentertawakan dia.

30 Mereka akan berkata, ‘Lihatlah, orang ini memulakan kerja tetapi tidak dapat menyudahkannya!’

31 Jika seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak berperang dengan raja lain yang mempunyai dua puluh ribu orang askar, raja itu akan duduk terlebih dahulu lalu mempertimbangkan sama ada dia cukup kuat untuk melawan musuhnya.

32 Jika dia tahu bahawa dia tidak kuat, dia akan mengirim utusan untuk minta berdamai, semasa musuhnya masih jauh.”

33 Akhirnya Yesus berkata, “Demikian juga dengan kamu. Tidak seorang pun daripada kamu dapat menjadi pengikut-Ku, kecuali dia meninggalkan segala miliknya.”

Garam yang Tawar

34 “Garam sangat berguna, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi.

35 Garam yang tawar tidak lagi berguna untuk menyuburkan tanah ataupun untuk dijadikan baja; sebaiknya dibuang sahaja. Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!”

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24