1 Yesus meneruskan perjalanan-Nya ke Yerikho dan melalui kota itu.
2 Di situ ada seorang ketua pemungut cukai yang kaya; namanya Zakheus.
3 Dia ingin melihat Yesus, tetapi kerana orang terlalu banyak, lagi pula dia pendek, dia tidak dapat melihat Yesus.
4 Dia lari mendahului orang ramai, lalu memanjat sebatang pokok ara, supaya dia dapat melihat Yesus yang akan lalu di situ.
5 Apabila Yesus tiba di situ, Dia memandang ke atas lalu berkata kepada Zakheus, “Zakheus, turunlah segera! Hari ini Aku mesti menumpang di rumahmu.”
6 Zakheus turun dengan segera dan menyambut Yesus dengan kegembiraan.
7 Semua orang yang menyaksikan hal itu mula bersungut-sungut. Mereka berkata, “Orang ini menumpang di rumah seorang berdosa!”
8 Zakheus berdiri dan berkata kepada Yesus, “Guru, saya akan mendermakan separuh daripada harta saya kepada orang miskin. Sesiapa sahaja yang pernah saya tipu, akan saya bayar kembali empat kali ganda!”
9 Yesus berkata kepadanya, “Pada hari ini Allah telah menyelamatkan kamu dan keluargamu, kerana kamu juga keturunan Abraham.
10 Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.”
11 Sementara orang masih mendengar Yesus berkata-kata, Yesus menceritakan perumpamaan berikut. Pada waktu itu Dia hampir tiba di Yerusalem dan orang ramai menyangka bahawa Allah segera akan memerintah di bumi.
12 Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Seorang bangsawan pergi ke negeri yang jauh untuk dilantik menjadi raja, dan kemudian dia akan kembali.
13 Tetapi sebelum dia berangkat, dia memanggil sepuluh orang hambanya lalu memberikan sekeping wang emas kepada setiap orang. Dia berkata, ‘Berniagalah dengan wang ini semasa aku pergi.’
14 Tetapi penduduk negerinya membenci dia. Setelah dia berangkat, mereka mengirim utusan untuk mengatakan, ‘Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.’
15 Orang bangsawan itu dilantik menjadi raja, lalu pulang ke negerinya. Dengan segera dia menyuruh semua hambanya yang sudah menerima wang emas supaya datang menghadap. Raja hendak mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka.
16 Hamba pertama datang dan berkata, ‘Tuanku, patik berhasil mendapat sepuluh keping wang emas dengan sekeping wang yang tuanku berikan itu.’
17 ‘Bagus, kamu hamba yang baik! Oleh sebab kamu dapat dipercayai dalam perkara yang kecil, beta akan menjadikan kamu penguasa sepuluh buah kota.’
18 Hamba kedua datang dan berkata, ‘Tuanku, dengan sekeping wang emas yang tuanku berikan, patik berhasil mendapat lima keping wang emas.’
19 Kepada hamba itu raja berkata, ‘Beta akan menjadikan kamu penguasa lima buah kota.’
20 Hamba yang lain datang dan berkata, ‘Tuanku, inilah wang emas tuanku. Patik telah menyimpannya di dalam sapu tangan.
21 Patik takut akan tuanku, kerana patik tahu bahawa tuanku seorang yang keras. Tuanku mengambil apa yang bukan milik tuanku, dan tuanku menuai di tempat yang tidak tuanku semai.’
22 Raja itu berkata kepadanya, ‘Hai hamba yang jahat! Beta akan menghukum kamu menurut kata-katamu sendiri. Kamu tahu bahawa beta seorang yang keras; beta mengambil apa yang bukan milik beta, dan menuai di tempat yang tidak beta semai.
23 Oleh itu kamu seharusnya menyimpan wang beta di bank supaya apabila beta kembali beta dapat menerima wang beta dengan faedahnya.’
24 Kemudian raja itu bertitah kepada mereka yang berdiri di situ, ‘Ambillah wang emas itu daripadanya dan berikan kepada hamba yang mempunyai sepuluh keping.’
25 Mereka berkata kepada raja itu, ‘Tuanku, dia mempunyai sepuluh keping!’
26 Raja itu menjawab, ‘Ketahuilah, orang yang sudah mempunyai sesuatu, kepadanya akan diberikan lebih banyak lagi. Tetapi orang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.
27 Sekarang bawa ke mari musuh beta yang tidak mahu beta menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka semua di hadapan beta!’ ”
28 Setelah Yesus berkata demikian, Dia berjalan di hadapan mereka lalu menuju ke Yerusalem.
29 Apabila Yesus tiba dekat Betfage dan Betania di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya berjalan terlebih dahulu.
30 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Haiwan itu belum pernah ditunggang orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke mari.
31 Jika orang bertanya, ‘Mengapa kamu melepaskan keldai itu?’ beritahu orang itu, ‘Tuhan memerlukannya.’ ”
32 Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus.
33 Sedang mereka melepaskan anak keldai itu, pemiliknya berkata kepada mereka, “Mengapa kamu melepaskan keldai itu?”
34 Mereka menjawab, “Tuhan memerlukannya.”
35 Lalu mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus. Mereka menaruh jubah mereka pada punggung keldai itu lalu menolong Yesus naik ke atasnya.
36 Sementara Yesus lalu dengan menunggang keldai itu, orang ramai membentangkan jubah di jalan.
37 Apabila Yesus hampir sampai di Yerusalem, di jalan yang menurun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersyukur kepada Allah dan memuji Allah dengan suara keras kerana semua mukjizat yang sudah disaksikan oleh mereka.
38 “Diberkatilah Dia yang datang dengan kuasa Tuhan! Sejahtera di syurga dan kemuliaan bagi Allah!”
39 Lalu beberapa orang Farisi antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah semua pengikut guru diam.”
40 Yesus menjawab, “Percayalah, jika mereka diam, batu-batu ini akan mula berseru.”
41 Yesus semakin dekat Yerusalem dan apabila Dia melihat kota itu, Dia menangisinya.
42 Dia berkata, “Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang kamu tidak dapat melihatnya.
43 Masanya akan tiba apabila musuh mengelilingimu dengan sekatan. Mereka akan mengepung dan mengasak kamu dari segala arah.
44 Mereka akan memusnahkan kamu dan semua pendudukmu. Tidak seketul batu pun akan tertinggal pada tempatnya, kerana kamu tidak tahu masanya Allah datang menyelamatkan kamu!”
45 Yesus masuk ke Rumah Tuhan dan mula mengusir semua pedagang di situ.
46 Yesus berkata, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!”
47 Setiap hari Yesus mengajar di dalam Rumah Tuhan. Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin bangsa Yahudi hendak membunuh dia.
48 Tetapi mereka tidak mendapat peluang, kerana orang ramai sentiasa mendengarkan Dia dan tidak mahu terlepas sepatah kata pun.