16 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Orang yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata-Ku juga. Tetapi orang yang menolak kamu, menolak Aku juga. Orang yang menolak Aku, juga menolak Dia yang mengutus Aku.”
17 Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali dengan kegembiraan yang besar. “Tuhan,” kata mereka, “roh-roh jahat pun taat kepada kami apabila kami memberikan perintah dengan nama Tuhan!”
18 Yesus berkata kepada mereka, “Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat.
19 Dengarlah! Aku sudah memberikan kuasa kepada kamu supaya dapat memijak ular dan kala jengking serta mengalahkan segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa pun dapat mencederakan kamu.
20 Tetapi janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.”
21 Pada waktu itu Yesus bersukacita kerana dipenuhi oleh Roh Allah, lalu berkata, “Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana kepada orang yang tidak terpelajar Engkau telah menunjukkan apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak dan pandai. Ya Bapa, perkara itulah yang menyenangkan hati Bapa.
22 Bapa-Ku sudah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang diberitahukan oleh Anak tentang Bapa.”