26 Lalu roh itu akan pergi memanggil tujuh roh jahat lain yang lebih jahat daripadanya. Kemudian semua roh itu akan memasuki orang itu lalu tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu menjadi lebih buruk daripada dahulu.”
27 Setelah Yesus berkata demikian, seorang wanita antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya wanita yang melahirkan dan menyusui kamu!”
28 Tetapi Yesus menjawab, “Lebih bahagia lagi orang yang mendengar firman Allah dan melakukannya!”
29 Ketika orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali mukjizat Nabi Yunus.
30 Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini.
31 Pada Hari Pengadilan kelak, ratu dari Syeba akan bangkit lalu menuduh orang zaman ini. Ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran yang bijak daripada Raja Salomo. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo!
32 Pada Hari Pengadilan kelak, penduduk Niniwe akan bangkit lalu menuduh kamu, kerana mereka bertaubat daripada dosa ketika mendengar Yunus menyampaikan perkhabaran. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!”