29 Ketika orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali mukjizat Nabi Yunus.
30 Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini.
31 Pada Hari Pengadilan kelak, ratu dari Syeba akan bangkit lalu menuduh orang zaman ini. Ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran yang bijak daripada Raja Salomo. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo!
32 Pada Hari Pengadilan kelak, penduduk Niniwe akan bangkit lalu menuduh kamu, kerana mereka bertaubat daripada dosa ketika mendengar Yunus menyampaikan perkhabaran. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!”
33 “Tidak ada orang yang memasang pelita lalu menyembunyikan atau menaruh pelita itu di bawah pasu. Dia akan meletakkannya di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke rumah dapat melihat cahayanya.
34 Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Apabila matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi apabila matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita.
35 Oleh itu, berhati-hatilah, supaya cahaya pada dirimu tidak menjadi gelap.