46 Yesus menjawab, “Malanglah kamu guru Taurat! Kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu.
47 Malanglah kamu! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi yang dibunuh oleh nenek moyang kamu.
48 Dengan tindakan itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyang kamu. Mereka membunuh nabi-nabi itu dan kamu membuat kubur bagi para nabi itu.
49 Itulah sebabnya Kebijaksanaan Allah berkata, ‘Aku akan mengutus nabi dan utusan kepada mereka, tetapi ada yang akan dibunuh dan ada yang akan dianiaya!’
50 Demikianlah orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi sejak dunia ini diciptakan,
51 mulai daripada pembunuhan Habel sehingga pembunuhan Zakharia yang berlaku di antara mazbah dan Tempat Suci itu. Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi itu.
52 Malanglah kamu, guru Taurat! Kamu menyimpan kunci yang dapat membuka pintu pengetahuan tentang kehendak Allah, tetapi kamu tidak mahu masuk ke dalam. Sebaliknya kamu menghalangi orang yang mahu masuk!”