7 Seandainya kawanmu itu menjawab dari dalam, ‘Janganlah susahkan aku! Pintu sudah dikunci dan aku dengan anak-anak sudah tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa kepada kamu.’ ”
8 Yesus berkata, “Lalu bagaimana? Ketahuilah, meskipun kamu kawannya, dia tidak mahu bangun dan memberikan roti kepada kamu. Tetapi kerana kamu tidak segan untuk terus-menerus meminta, dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan.
9 Oleh itu Aku berkata kepada kamu: Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu.
10 Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya, dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya.
11 Siapakah antara kamu selaku bapa akan memberikan ular kepada anaknya ketika dia meminta ikan?
12 Atau adakah kamu akan memberikan kala jengking ketika dia meminta telur?
13 Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu, lebih-lebih lagi Bapa yang di syurga! Dia akan memberikan Roh-Nya kepada mereka yang meminta daripada Bapa!”