30 (Orang yang tidak mengenal Allah selalu memikirkan hal-hal itu.) Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua itu.
31 Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, maka semua itu akan diberikan oleh Allah kepada kamu.”
32 “Janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan, kerana Bapa kamu berkenan membenarkan kamu menikmati Pemerintahan-Nya.
33 Juallah segala milik kamu, dan berikan wangnya kepada orang miskin. Bagi diri kamu, buatlah dompet yang tidak dapat rosak dan simpanlah harta kamu di syurga. Di situ harta kamu tidak akan berkurang, kerana pencuri tidak dapat masuk dan gegat tidak dapat merosakkannya.
34 Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada harta kamu.”
35 “Bersiap-siaplah untuk menghadapi apa sahaja. Kamu harus sentiasa siap sedia dengan pelita yang menyala.
36 Hendaklah kamu seperti hamba yang sedang menantikan tuan mereka balik daripada jamuan perkahwinan. Apabila tuan itu balik dan mengetuk pintu, dengan segera mereka akan membuka pintu.