21 Keadaannya seperti ini: Seorang wanita mengambil ragi lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik!”
22 Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui beberapa buah kota dan pekan sambil mengajar.
23 Seorang bertanya kepada-Nya, “Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?”Yesus menjawab,
24 “Berusahalah sebaik-baiknya untuk masuk melalui pintu yang sempit, kerana banyak orang yang mencuba masuk, tetapi tidak dapat.
25 Pada waktu tuan rumah bangun dan menutup pintu, kamu yang berdiri di luar mula mengetuk pintu dan berkata, ‘Tuan, bukalah pintu untuk kami!’ Tuan itu akan menjawab, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang!’
26 Kamu akan menjawab, ‘Kami sudah makan dan minum bersama-sama tuan, dan tuan juga mengajar di kota kami!’
27 Tetapi tuan itu akan berkata lagi, ‘Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah dari sini, kamu semua yang melakukan kejahatan!’