8 Tetapi pekebun itu menjawab, ‘Tuan, biarkanlah pokok ini tumbuh selama setahun lagi. Saya akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan menaruh baja.
9 Jika pokok ini berbuah pada tahun depan, baiklah. Jika tidak, tuan boleh menyuruh orang menebangnya.’ ”
10 Pada suatu hari Sabat Yesus mengajar di rumah ibadat.
11 Di situ ada seorang wanita yang sakit, kerana dirasuk roh jahat selama lapan belas tahun. Dia bongkok dan tidak dapat berdiri tegak.
12 Ketika Yesus melihat dia, Yesus memanggil dia dan berkata kepadanya, “Mulai sekarang kamu sembuh!”
13 Yesus meletakkan tangan-Nya pada wanita itu dan pada saat itu juga wanita itu berdiri tegak lalu memuji Allah.
14 Ketua rumah ibadat marah kerana Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat. Ketua rumah ibadat berkata kepada semua orang di situ, “Ada enam hari untuk bekerja; datanglah pada masa itu untuk disembuhkan, tetapi jangan pada hari Sabat!”