13 Tetapi apabila kamu menjamu orang, jemputlah orang miskin, orang lumpuh, orang tempang, dan orang buta.
14 Kamu akan diberkati kerana mereka tidak dapat membalas kebaikanmu. Kebaikanmu akan dibalas oleh Allah pada waktu orang baik dibangkitkan daripada kematian.”
15 Salah seorang yang duduk bersama-sama Yesus mendengar kata-kata-Nya. Dia berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya mereka yang akan dijamu oleh Allah di Dunia Baru Allah!”
16 Yesus berkata kepada orang itu, “Ada seorang yang sedang mengadakan jamuan besar. Dia menjemput banyak orang.
17 Apabila tiba masanya perjamuan itu dimulakan, dia mengutus hambanya kepada semua tetamu dengan jemputan, ‘Marilah, semuanya sudah siap!’
18 Tetapi, seorang demi seorang mula memberikan alasan. Yang pertama berkata kepada hamba itu, ‘Aku baru membeli sebidang tanah dan perlu memeriksanya. Maafkanlah aku.’
19 Yang lain berkata, ‘Aku baru membeli lima pasang lembu dan hendak mencuba haiwan itu. Maafkanlah aku.’