23 Lalu tuan itu berkata kepada hambanya, ‘Pergilah ke jalan dan lorong di luar kota, dan suruh semua orang datang supaya rumahku penuh.
24 Ketahuilah, tidak seorang pun daripada tetamu yang aku jemput itu akan menikmati perjamuanku!’ ”
25 Orang ramai berjalan bersama-sama Yesus; Dia berpaling dan berkata kepada mereka,
26 “Sesiapa yang datang kepada-Ku tetapi tidak dapat mengasihi Aku lebih daripada ibunya, bapanya, isterinya, anak-anaknya, saudara lelakinya, dan saudara perempuannya, bahkan dirinya sendiri, tidak dapat menjadi pengikut-Ku.
27 Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya sendiri dan mengikut Aku, tidak dapat menjadi pengikut-Ku.
28 Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu.
29 Jika tidak, setelah meletakkan batu asasnya dia tidak dapat menyudahkan pekerjaan itu. Lalu semua orang yang melihat apa yang telah berlaku akan mentertawakan dia.