29 “Betul!” kata Yesus. “Percayalah, sesiapa yang meninggalkan rumah, atau isteri, atau saudara, atau ibu bapa, atau anak-anak kerana mengabdikan diri kepada Allah,
30 akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda pada masa ini, dan pada zaman yang akan datang dia akan menerima hidup sejati dan kekal.”
31 Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu berkata kepada mereka, “Dengarlah! Kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana segala yang ditulis oleh nabi-nabi tentang Anak Manusia akan berlaku.
32 Dia akan diserahkan kepada orang bukan Yahudi lalu mereka akan mempermainkan, menghina, dan meludahi Dia.
33 Mereka akan menyesah dan membunuh Dia; tetapi pada hari ketiga, Dia akan bangkit semula.”
34 Semuanya itu tidak difahami sedikit pun oleh pengikut Yesus. Makna ucapan itu dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Yesus.
35 Yesus hampir tiba di Yerikho. Di situ ada seorang buta yang sedang duduk di pinggir jalan meminta sedekah.