9 Yesus juga menceritakan perumpamaan ini kepada orang yang menghina orang lain, tetapi menganggap diri mereka baik.
10 Yesus berkata, “Dua orang pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Yang seorang orang Farisi dan yang seorang lagi pemungut cukai.
11 Orang Farisi itu berdiri sendirian dan berdoa, ‘Aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah, kerana aku tidak seperti orang lain yang tamak, suka menipu atau berzina. Aku bersyukur kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini.
12 Aku berpuasa dua kali seminggu dan aku mempersembahkan sepersepuluh daripada segala pendapatanku.’
13 Tetapi pemungut cukai itu berdiri agak jauh dan tidak berani menengadah ke langit. Dia menebah dada kerana menyesal sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini!’ ”
14 Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah, apabila mereka pulang ke rumah, pemungut cukailah yang diterima oleh Allah dan bukan orang Farisi itu. Setiap orang yang meninggikan diri akan direndahkan dan setiap orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.”
15 Beberapa orang membawa anak-anak kecil kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada anak-anak itu dan memberkati mereka. Ketika pengikut Yesus nampak hal itu, mereka menegur orang di situ.