27 Sekarang bawa ke mari musuh beta yang tidak mahu beta menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka semua di hadapan beta!’ ”
28 Setelah Yesus berkata demikian, Dia berjalan di hadapan mereka lalu menuju ke Yerusalem.
29 Apabila Yesus tiba dekat Betfage dan Betania di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya berjalan terlebih dahulu.
30 Dia berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Haiwan itu belum pernah ditunggang orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke mari.
31 Jika orang bertanya, ‘Mengapa kamu melepaskan keldai itu?’ beritahu orang itu, ‘Tuhan memerlukannya.’ ”
32 Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus.
33 Sedang mereka melepaskan anak keldai itu, pemiliknya berkata kepada mereka, “Mengapa kamu melepaskan keldai itu?”