7 Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, tibalah harinya domba disembelih untuk jamuan Paska.
8 Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, “Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.”
9 Mereka bertanya, “Di manakah Guru mahu kami menyiapkannya?”
10 Yesus berkata, “Apabila kamu masuk ke bandar, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya,
11 lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, ‘Guru bertanya, di manakah bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska?’
12 Tuan rumah itu akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan segala perabotnya. Siapkanlah segala-galanya di situ.”
13 Mereka pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus, lalu mereka menyediakan jamuan Paska.