25 Kemudian Pilatus membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan dan pembunuhan. Setelah itu Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk diperlakukan dengan sesuka hati.
26 Askar-askar itu membawa Yesus pergi, lalu di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon, yang berasal dari Kirene. Dia sedang memasuki kota. Askar-askar itu menangkap dia, lalu memaksa dia memikul salib Yesus dan berjalan di belakang Yesus.
27 Banyak orang mengikut Yesus dan antara mereka ada beberapa orang wanita yang menangisi dan meratapi Yesus.
28 Yesus berpaling kepada mereka dan berkata, “Wanita-wanita Yerusalem, janganlah tangisi Aku. Tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu.
29 Masanya akan tiba apabila orang berkata, ‘Alangkah bertuahnya wanita yang tidak pernah mengandung, yang tidak pernah melahirkan dan menyusukan bayi!’
30 Itulah masanya apabila orang akan berkata kepada gunung, ‘Timpalah kami!’ dan kepada bukit, ‘Sembunyikanlah kami!’
31 Jika demikian yang dilakukan mereka terhadap kayu yang masih hijau, apa pula yang akan dilakukan mereka terhadap kayu yang kering?”