19 “Apakah yang telah berlaku?” tanya Yesus.“Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,” jawab mereka. “Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya.
20 Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia!
21 Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketiga sejak kejadian itu.
22 Beberapa orang wanita daripada golongan kami memeranjatkan kami. Pada waktu fajar mereka pergi ke kubur,
23 tetapi tidak mendapati jenazah Yesus. Lalu mereka kembali dan berkata bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahukan bahawa Yesus hidup.
24 Beberapa orang di kalangan kami pergi ke kubur dan mendapati keadaannya seperti apa yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak nampak Yesus.”
25 Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi!