31 Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat.
32 Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa.
33 Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. Orang itu memekik dengan suara kuat,
34 “Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!”
35 Yesus memerintah roh itu, “Diam, dan keluarlah daripada orang ini!” Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya.
36 Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, “Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!”
37 Laporan tentang Yesus tersebar di seluruh kawasan itu.