26 Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana demikian juga nenek moyang mereka memuji nabi-nabi palsu.”
27 “Tetapi Aku berkata kepada kamu yang mendengarkan Aku: Kasihilah musuh kamu dan berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu.
28 Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu.
29 Jika seseorang menampar pipi kamu yang sebelah, biarkan dia menampar pipi kamu yang sebelah lagi. Jika seseorang merampas jubah kamu, berikanlah baju kamu juga.
30 Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikan apa yang dimintanya; jika seseorang merampas milik kamu, janganlah minta kembali barang itu.
31 Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka.
32 Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, patutkah kamu menerima pujian? Tentu tidak! Orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka!